Friday, October 30, 2009

Pembahagian Kalam

Kalam terbahagi 3, iaitu isim, feel dan harf. Semua lafaz yang digunapakai dalam Bahasa Arab mesti tidak lari daripada salah satu antara tiga perkara tadi.

Apakah Isim?

Dari segi lughah, isim adalah sesuatu yang menunjukkan kepada satu-satu perkara atau benda. Misalnya kita menggunakan perkataan ’durian’ untuk menunjukkan sejenis buah yang berduri di luar, isinya kekuningan dan ciri-ciri lain yang ada padanya.

Dari segi istilah nahu pula, isim adalah satu kalimah yang menunjukkan pada satu-satu makna, dan ianya tidak terikat dengan mana-mana masa. Misalnya kalimah :

محمدٌ
عليٌ
رجلٌ
جملٌ

Setiap satu daripada lafaz-lafaz tadi menunjukkan kepada makna satu-satu perkara, namun masing-masing tidak memberi makna masa. Maka ia dipanggil isim. InsyaAllah dengan mengetahui makna fe’el selepas ini, kita akan lebih faham mengenai isim.


Apakah fe’el?

Dari segi lughah ia bermaksud الحدث ‘kejadian atau peristiwa’.

Dari segi istilah, ia adalah satu kalimah yang menujukkan pada satu makna, dan terikat dengan salah satu daripada 3 masa, iaitu madhi (yang lepas) , hal (sekarang) dan mustaqbal (akan datang).

Misalnya : كَتَبَ = telah menulis

Kalimah ini menunjukkan satu makna iaitu ‘menulis’. Makna ini pula terikat atau disertakan dengan masa yang lalu (madhi).

Kalimah يَكْتُبُ = sedang menulis.

Juga menunjukkan makna menulis, dan disertakan juga dengan makna masa, iaitu masa sekarang.

Kalimah اُكْتُبْ = hendaklah kamu tulis (fe’el amar @ kata suruhan)

Perbuatan menulis oleh orang yang ditujukan fe’el amar ini kepadanya akan dilakukan selepas mutakallim selesai bercakap.

Maka,

Fe’el yang menunjukkan makna telah lalu dipanggil (الماضي) fe’el madhi. Misalnya
فَهِمَ , خَرَجَ , سَمِعَ , تَكَلَّمَ , , كَتَبَ

Fe’el yang menunjukkan makna sekarang dipanggil (المضارع) Misalnya
يَكْتُبُ , يَفْهَمُ , يَخْرُجُ , يَسْمَعُ , يَتَكَلَّمُ
(insyaAllah nanti akan diterangkan bahawa mudhari’ juga boleh memberi makna akan datang)

Fe’el yang menunjukkan makna meminta ia dibuat selepas daripada diamnya mutakallim dipanggil (الأمر). Misalnya اُكْتُبْ , اِفْهَمْ , اُخْرُجْ , اِسْمَعْ , تَكَلَّمْ

Apakah Harf?

Dari segi lughah ia adalah الطرف (tepi, hujung, batas)

Dari segi istilah nahu, ia adalah satu kalimah yang menunjukkan satu makna pada perkara selainnya. Misalnya "مِنْ" . Ia adalah satu kalimah yang memberikan makna ’permulaan’. Makna ini tidak akan sempurna melainkan apabila disertakan kalimah lain padanya. Misalnya kita kata

مَشَيْتُ مِنْ بَيْتِيْ الى المدرَسَةِ (Aku berjalan dari rumahku ke sekolah).

Kalimah من mesti disertakan dengan kalimah lain iaitu ‘baiti’. Baru kita tahu makna yang nak disampaikan, iaitu permulaan perjalanannya adalah daripada rumahnya.

Sebenarnya harf من bukan memberi makna ’permulaan’ sahaja. Bahkan ada beberapa makna lain yang insyaAllah akan diterangkan bila sampai pada babnya.

Berikut adalah contoh-contoh harf

مِنْ , الى , عَنْ , علَى , إِلاَّ , لكِنْ , إِنَّ , أَنْ , بَلَى
dan banyak lagi.


InsyaAllah entri yang akan datang mengenai alamat-alamat isim.

Wednesday, October 28, 2009

Apakah Itu Kalam Nahu


Berkata pengarang kitab al-Muqaddimah al-Ajurrumiyyah, Abu Abdillah ibnu Muhammad ibni Daud al-Asfahaniy rahimahullah(672 - 723 H), yang lebih dikenali sebagai Ibnu Ajurrum :

الكلام هو اللفظ المركب المفيد بالوضع
" Kalam itu adalah lafaz yang tersusun lagi memberi faedah dalam Bahasa Arab”

Berkata pula As-Syeikh Muhammad MuhyiddinAbdul Hamid hafizahullah (ulama yang mensyarahkan al-Muqaddimah al-Ajurrumiyyah melalui kitabnya at-Tuhfah as-Saniyyah):

Kalam itu ada dua makna.

1) Makna Lughawi

Kalam dari segi lughah adalah satu perkara yang dengannya terhasilnya satu faedah (kepada orang yang kalam itu ditujukan kepadanya). Tidak kiralah sama ada kalam itu adalah berlafaz, ataupun tidak berlafaz seperti tulisan dan isyarat anggota badan. (Misalnya anda mengangguk sebagai jawapan ’ya’ kepada seseorang yang bertanya kepada anda mengenai sesuatu perkara dan anda membenarkannya).

2) Makna Nahwi (mengikut pandangan ulama Nahu)

Dengan syarat mesti terhimpun padanya 4 perkara:

1- Ia mestilah berbentuk lafaz.

Maknanya ia adalah suara yang terkandung padanya sebahagian daripada huruf-huruf hijaiyah dari alif sampai ya. Misalnya kalimah ‘أحمد’, ‘يكتب’ dan ‘سعيد’. Tiap satu antara 3 kalimah tadi bila dilafazkan, akan mengeluarkan bunyi atau suara yang terhasil daripada 4 huruf hijaiyah. Cuba kita sama-sama sebut ’Ahmad’. Ianya terhasil apabila kita menggabungkan 4 huruf hijaiyah iaitu Hamzah, Ha, Mim dan Dal.
Adapun bahasa isyarat seperti mengangguk dan lain-lainnya, tidaklah ia dianggap sebagai ’kalam’ disisi ulama nahu. Ini adalah kerana ’bahasa’ ini tidak terhasil daripada gabungan huruf-huruf hijaiyah. Namun ulama lughah tetap menganggap ia sebagai ’bahasa’ kerana terhasilnya faedah daripadanya.

2- Ia mesti murakkab

Murakkab bermaksud, ia mesti tersusun atau terbina daripada dua kalimah atau lebih. Contohnya :

محمدٌ يسافِرُ
العلمُ نافعٌ
يبلغُ المجتهدُ المجدَ

Setiap satu daripada contoh di atas dipanggil kalam. Setiap satunya dibina dengan dua kalimah atau lebih. Kalau kalimah itu hanya satu, dia tidak dipanggil kalam disisi ulama nahu, melainkan kalau disertakan satu kalimah lain padanya. Kalimah yang disertakan padanya mungkin berbentuk hakiki (jelas@kita dengar sebutannya) seperti misal-misal di atas. Mungkin juga datang dalam bentuk taqdiri (tidak disertakan dalam kata-katanya).

Misalnya seseorang bertanya kepada kita, "من أخوكَ؟" Siapa abang kamu? Kita jawab, “Muhammad”. Kalimah Muhammad ini, walaupun hanya satu perkataan namun dikira sebagai kalam kerana taqdirnya (kalam asal yang ingin dinyatakan tapi tidak dizahirkan sebutannya) adalah "محمدٌ أخي" Abang saya Muhammad. Oleh kerana ia sebenarnya terhasil daripada 2 kalimah, cuma salah satunya ditaqdirkan (disembunyikan) sebutannya, maka ia juga dikira sebagai kalam.

3. Ia mesti mufid (memberi makna)

Maknanya, ketika mutakallim (orang yang bercakap) berhenti daripada percakapannya, (sami’) yang mendengar boleh memahami apa yang disampaikan dan tidak tertunggu-tunggu.

Misalnya, kalau kita kata " إذا حضرَ الأستاذُ" ‘Bila ustaz datang nanti’ , ia tidak dikira sebagai kalam walaupun ianya tersusun daripada 3 kalimah. Ini adalah kerana sami’ masih tertunggu-tunggu apakah natijah yang kita ingin cakapkan setelah kedatangan ustaz.
Namun bila kita kata "إذا حضر الأستاذ أنصت التلاميذُ" ‘Bila ustaz datang nanti, barulah pelajar diam’ , pada waktu ini barulah dikira sebagai kalam kerana ia difahami dan memberi faedah.

4. Lafaz itu digunapakai dalam pertuturan Arab

Maknanya orang Arab menggunakan lafaz atau kalimah itu untuk menunjukkan satu-satu makna tertentu. Misalnya kalimah حَضَرَ adalah kalimah yang digunakan untuk memberi makna terhasilnya perbuatan ‘hadir’ pada masa yang telah lepas. Kalimah محمد pula digunakan untuk memberi makna seseorang yang dinamakan dengan Muhammad. Kedua-dua kalimah ini digunapakai oleh orang Arab dalam pertuturan mereka.

Tuesday, October 27, 2009

Muqaddimah Nahu

Muqaddimah

Takrif Nahu, Topik Perbahasan, Kelebihannya, Nisbahnya, Pengasas, dan Hukum Syarak Pada Mempelajarinya.


Takrif Nahu

Kalimah (نحو) dari segi lughah@bahasa mempunyai beberapa makna. Antaranya memberi makna (جهة) yakni arah.

Misalnya :

ذَهَبْتُ نَحْوَ فُلانٍ
“Aku pergi ke arah si fulan”

Antara maknanya lagi adalah (الشبه) yakni sama@serupa.

Misalnya,

محمدٌ مثلُ عليٍّ
“Muhammad seperti Ali”

Dari segi istilah nahu pula, ia ditakrifkan sebagai ‘Ilmu mengenai kaedah-kaedah khusus, yang dengan mengetahui kaedah-kaedah itu tadi kita dapat mengetahui hukum-hukum di akhir satu-satu kalimah arab (sama ada ia mu’rab, mabni atau sebagainya) ketika menyusun kalimah-kalimah tersebut’

Topik Perbahasan Ilmu Nahu

Adalah kalimah-kalimah bahasa Arab itu sendiri seperti yang disebutkan tadi.


Kelebihan Mempelajari Nahu

1.Memelihara lidah daripada kesalahan ketika berbahasa Arab.

2. Dapat memahami al-Quran al-Karim dan hadis-hadis nabawi dengan kefahaman yang sohih dan betul. Ini adalah kerana kedua-duanya merupakan asal dan rujukan kepada syariat Islam, dan sememangnya perbahasan berlegar sekitar kalimah-kalimah yang ada dalam al-Quran dan al-Hadis.



Nisbahnya

Ilmu Nahu ini dinisbahkan sebagai salah satu disiplin dalam lapangan ilmu Bahasa Arab. Ada banyak lagi disiplin ilmu yang lain dalam Bahasa Arab seperti Ilmu Sorof, Ilmu Balaghah dan lain-lain lagi.

Pengasasnya

Mengikut pendapat yang masyhur, ulama yang mula-mula mengasaskan Ilmu Nahu ini adalah al-Allamah Abu al-Aswad ad-Duali, atas perintah Amirul Mukminin pada ketika itu iaitu Saidina Ali bin Abi Talib. Semoga Allah meredhai keduanya.

Hukum Syarak Pada Mempelajari Ilmu Nahu

Mempelajarinya adalah salah satu fardhu kifayah. Terkadang seseorang itu perlu mempelajari Ilmu Nahu atas satu-satu sebab tertentu (yang memerlukannya menguasai Ilmu Nahu), maka pada ketika itu mempelajarinya menjadi fardhu ain ke atasnya.